APAKAH hukum bersanding dalam Islam kerana ada yang mengatakan ia adalah budaya agama Hindu?
JAWAPAN: Tujuan asal diadakan majlis walimatulurus adalah untuk memperkenalkan pasangan yang telah diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah kepada tetamu dan para jemputan.
Persandingan hanyalah satu adat Melayu yang menjadi warisan turun-temurun sejak dahulu hingga ke hari ini.
Namun, dalam kemeriahan menyambut majlis bersejarah itu, hendaklah dipastikan syariat Islam tidak tenggelam dalam lautan kegembiraan.
Berdasarkan pemerhatian, sebahagian adat bersanding diambil dari budaya orang Hindu seperti adat merenjis yang bertujuan mengelak makhluk halus dan nasib buruk. Ia adalah haram dan dilarang.
Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka." (Hadis sahih Riwayat Abu Dawud).
Dalam hadis yang dikeluarkan oleh al-Imam Ahmad, Ibn Umar RA juga berkata, bahawa Rasulullah bersabda:
"Aku diutus dengan pedang menjelang hari kiamat, sehingga (orang-orang bukan Islam) menyembah Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, dijadikan rezeki di bawah bayangan tombakku dan dijadikan hina dan rendah bagi sesiapa saja yang berselisihan dengan urusanku. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka." (Musnad Ahmad)
Namun begitu, Islam memberi garis panduan dalam isu ini kerana sesuatu adat dan budaya itu boleh dilaksanakan selagi mana tidak bertentangan dengan syarak. Antaranya:
Pertama, majlis persandingan itu perlu dibuat secara tertutup khusus untuk ahli keluarga yang mahram sahaja. Kedua, tiada percampuran antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram. Ketiga, tiada pembaziran dan tiada perkara yang melalaikan.
Apa cara pun yang dilakukan, semoga syariat Allah terpelihara dan beroleh keberkatan dan keredaan-Nya.
Antara umrah dan haji
Ramai orang cenderung melakukan umrah berkali-kali tetapi tidak mengerjakan haji. Yang manakah lebih afdal dilakukan?
JAWAPAN: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa kesan jemaah haji menunaikan haji lebih daripada sekali adalah berkebajikan di dunia dan beroleh ganjaran besar di akhirat. Terserah kepada orang perseorangan bahawa dia telah mendahulukan amalan yang wajib kemudian mengerjakan pula amalan yang sunat.
Adalah lebih afdal dengan menunaikan ibadah haji terlebih dahulu kerana ia merupakan satu kewajipan. Kemudian laksanakanlah umrah kerana ia satu ibadah sunat kepada yang berkemampuan.
Alkohol minyak wangi
Apakah benar alkohol yang terdapat pada minyak wangi tidak boleh dibawa solat? Minta penjelasan.
JAWAPAN: Masyarakat perlu peka dengan kesucian bahan yang terkandung dalam wangian tersebut. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya yang halal dan haram itu jelas dan di antara kedua-duanya ada perkara syubhah dan samar yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang". (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Etanol adalah sebatian yang digunakan sebagai campuran dalam minuman keras. Setiap arak atau minuman keras ada mengandungi alkohol tetapi tidak semua alkohol itu adalah arak.
Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis. Alkohol yang tidak dihasilkan melalui proses pembuatan arak pula hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
Alkohol juga terhasil daripada lebihan proses pembuatan makanan seperti tapai, sama ada dari ubi kayu atau pulut. Ia tidak najis dan harus dimakan.
Maka, ubat-ubatan atau minyak wangi yang dicampurkan alkohol yang diproses bukan untuk pembuatan arak adalah harus dan dimaafkan dan boleh dibawa dalam ibadah solat.
sumber:kosmo(20 feb 2011)
0 comments:
Post a Comment