Asma’ Binti Umais

Ketabahan Lambang Cintanya

Ada empat akhwat mukminah iaitu Maimunah, Umu Fadl, Salma dan Asma’”. Itulah penghargaan teragung diberikan Rasulullah SAW terhadap golongan mukminah yang paling awal memeluk Islam. Menggambarkan kekaguman baginda kepada golongan wanita berkenaan yang tiada tolok banding.

Salah seorang daripada empat wanita agung yang disebut baginda ialah Asma’ Binti Umais. Beliau merupakan salah seorang daripada golongan mukminah yang terawal memeluk Islam. Dikenali sebagai Ummu Ubdillah, nama sebenarnya ialah Asma’ Binti Ma’d bin Tamim bin al Haris bin Ka’ab bin Malik bin Quhafah.

Keislaman Asma’ sebenarnya memberikan erti yang besar terutama kepada gerakan dakwah Rasulullah. Apatah lagi, beliau menerima sokongan hebat daripada suaminya yang juga sahabat Rasulullah, Jaafar bin Abi Talib.

Antara kekaguman yang wajar diiktiraf terhadap Asma’ ialah beliau termasuk dalam golongan wanita muhajirah pertama ketika menyertai suaminya berhijrah ke Habsyah. Kesanggupannya hidup dalam pengasingan turut teruji dan menjadi salah satu contoh bagaimana beliau sanggup berkorban demi Islam.

Selama berada dalam pengasingan, Asma’ telah melahirkan tiga anak lelaki yang bernama Abdullah, Muhammad dan Aunan. Namun, yang paling menggembirakannya ialah wajah Abdullah, mirip dengan suaminya, Jaafar. Sedangkan wajah Jaafar pula dikatakan mirip Rasulullah.

Sebagai golongan awal yang memeluk Islam, Asma’ mempunyai cinta utuh kepada Allah dan Rasulullah. Sebab itu, apabila mendapat seruan dan perintah untuk berhijah ke Kota Madinah, beliau ternyata gembira. Beliau melihat perjuangan untuk golongan muslimin menjadi indah dengan seruan berkenaan.

Masakan tidak,sebagai seorang mukminah, beliau juga bercita-cita untuk melihat kaum Muslimin mempunyai daerah dan negeri sendiri. Cita-cita itu sebenarnya lebih besar kerana beliau terlalu berharap agar dengannya, Islam akan tersebar dengan meluas di samping meningkatkan syariat Allah.

Benar kata hukamak, setiap sesuatu peristiwa yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri. Begitu juga dengan Asma’. Penghijrahan ke Madinah telah membuktikan rasa cintanya kepada Rasulullah. Ia tercatat menerusi satu peristiwa.

Tatkala sampai di Madinah, Asma’ terus ke rumah isteri Rasulullah, Hafshah binti Umar. Tidak lama kemudian, Saidina Umar pula masuk. Hairan melihat kedatangan Asma’, Saidina Umar kemudian bertanya mengenainya. Lantas dijawab Hafshah bahawa Asma’ merupakan wanita yang menyertai hijrah dari Habsyah.

Mendengar jawapan Hafshah, Umar kemudian berkata:

“Kami telah mendahului amu semua dalam hijrah bersama Rasulullah. Jadi, kamilah lebih layak terhadap Rasulullah berbanding kamu semua”.

Kata-kata Saidina Umar rupa-rupanya tidak menyenangkan Asma’. Beliau kemudiannya membalas balik dengan berkata:

“Tidak! Demi Allah, kalian bersama Rasulullah sedangkan baginda memberi makan bagi yang kelaparan antara kalian. Selain itu, baginda juga mengajarkan antara kalian. Sedangkan kami pula berada di Habsyah adalah semata-mata ketaatan kami kepada Alah dan Rasulnya”.

Perkara berkenaan sampai kepada pengetahuan baginda. Setelah mendengar penjelasan daripada Saidina Umar dan Asma’ sendiri, Rasulullah kemudiannya berkata kepada mereka:

“Tiada seorang pun yang berhak ke atas diriku melebihi kalian. Umar dan para sahabatnya berhijrah sekali akan tetapi telah berhijrah dua kali”.

Mendengar kata-kata Rasulullah berkenaan, hati Asma’ menjadi menjadi gembira. Lantas kegembiraan itu telah dikongsikan bersama-sama dengan orang lain. Peristiwa itu sungguh, telah menjadi bukti bahawa cintanya kepada Rasulullah terlalu tinggi.

Namun, adat sebagai isteri kepada seorang pejuang agama, terlalu banyak dugaan dan ujian. Begitu juga yang terjadi kepada Asma’. Suaminya, Jaafar telah gugur dalam satu peperangan ketika kaum Muslimin menuju Syam.

Berita gugurnya Jaafar begitu mengharukan bagi Rasulullah. Masakan tidak, Jaafar merupakan salah seorang sahabat yang amat dicintai baginda. Ketika, ingin menyampaikan berita berkenaan. Asulullah hadir ke rumah Asma’.

Dikumpulkan ketiga-tiga anaknya. Mereka mengelilingi Rasulullah. Kemudian baginda mengusap dan mencium kepala ketiga-tiga anak tadi. Air mata baginda kemudiannya tumpah. Berat hati untuk menyatakan berita itu. Namun digagahinya juga.

Mendengar berita mengenai syahidnya Jaafar, Asma’ ternyata tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir. Namun, beliau reda dengan ujian berkanaan. Hanya pahala yang agung diharapkannya daripada Allah. Bahkan ia telah memberi semangat kepadanya untuk bercita-cita syahid seperti suaminya berkenaan.

Tidak lama selepas kematian suaminya, Asma’ menerima satu berita yang hebat.beliau telah dipinang Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang telah kematian isterinya, Ummu Rumaan. Tiada alas an bagi Asma’ untuk menolak ketentuan dan pinangan berkenaan. Pernikahannya dengan Abu Bakar hanyalah semata-mata demi menambah cahaya kebenaran dan cahaya Iman. Mereka kemudiannya dianugerahkan seorang anak lelaki.

Begitulah ekcintaan yang tinggi Asma’ terhadap ALLAH, Rasul-Nya dan agama. Ketabahannya melaksanakan perintah Allah dan Rasulullah, serta kesabarannya kehilangan suami tercinta menjadi lambing bukti bahawa cintanya terlalu agung.

Sumber: ILUVISLAM. BIL66.

0 comments: